Wednesday, February 25, 2009

Bahagain 2 Al-Quran: Antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah Dan Syi’ah

Baca bahagian 1

Pegangan ulama-ulama Syi’ah tersebut adalah berdasarkan kepada lebih daripada dua ribu riwayat-riwayat sahih daripada imam-imam maksum di sisi mereka[1] yang dengan jelas menunjukkan berlakunya tahrif di dalam al-Quran. Di antara riwayat-riwayat tersebut adalah:

Pertama: Al-Kulaini di dalam al-Kafi[2]:


عن جابر قال: سمعت أبا جعفر عليه السلام يقول: ما ادعى أحد من الناس أنه جمع القرآن كله كما أنزل إلا كذاب، وما جمعه وحفظه كما نزله الله تعالى إلا علي بن أبي طالب عليه السلام والائمة من بعده عليهم السلام

Bermaksud: Daripada Jabir katanya, aku mendengar Abu Ja'far a.s. berkata: "Tidaklah seseorang itu mendakwa bahawa ia telah mengumpulkan al-Quran kesemuanya sebagaimana diturunkan melainkan ia adalah seorang pendusta, al-Quran tidak dihimpunkan dan dihafal sebagaimana diturunkan oleh Allah Taala kecuali Ali bin Abi Talib a.s. dan imam-imam selepasnya a.s.".[3]

Kedua: Pengumpulan al-Quran yang sebenar di lakukan oleh Sayyidina Ali r.a. di sisi Syi’ah:


عن سالم بن سلمة قال: قرأ رجل على أبي عبدالله عليه السلام وأنا أستمع حروفا منالقرآن ليس على ما يقرؤها الناس، فقال أبوعبدالله عليه السلام: كف عن هذه القراء‌ة اقرأ كما يقرأ الناس حتى يقوم القائم فإذا قام القائم عليه السلام قرأ كتاب الله عزو جل على حده وأخرج المصحف الذي كتبه علي عليه السلام وقال: أخرجه علي عليه السلام إلى الناس حين فرغ منه وكتبه فقال لهم: هذا كتاب الله عزوجل كما أنزله [الله] على محمد صلى الله عليه وآله وقد جمعته من اللوحين فقالوا: هو ذا عندنا مصحف جامع فيه القرآن لا حاجة لنا فيه، فقال أما والله ما ترونه بعد يومكم هذا أبدا، إنما كان علي أن اخبركم حين جمعته لتقرؤوه.

Bermaksud: Daripada Salim bin Salamah katanya: "Ada seorang membaca al-Quran kepada Abi Abdillah a.s. dan aku mendengar dengan teliti beberapa ayat al-Quran bukan sebagaimana yang dibaca oleh orang ramai, lalu Abu Abdillah a.s. berkata, "Berhentilah daripada bacaan sebegini, bacalah sebagaimana yang dibaca oleh orang ramai sehingga bangkit Al-Qaim (imam mahdi), bilamana Al-Qaim a.s. bangkit dia akan membaca kitab Allah 'Azzawajalla yang sebenar dan dia akan mengeluarkan mushaf yang ditulis oleh Ali a.s. Abu Abdillah a.s. berkata lagi, "Ali a.s. telah mengeluarkan al-Quran tersebut kepada orang ramai (sahabat-sahabat) setelah dia selesai daripada menghimpunkan dan menulisnya lalu dia berkata kepada mereka, "Ini adalah kitab Allah 'Azzawajalla sebagaimana yang Ia turunkan kepada Muhammad s.a.w. dan aku telah himpunkannya daripada dua lauh." Maka mereka (sahabat-sahabat) berkata, "Ini di sisi kami telahpun ada mushaf yang terhimpun di dalamnya al-Quran, kami tidak lagi berhajat kepadanya." Lalu dia (Ali a.s.) berkata, "Ketahuilah demi Allah! Kamu tidak akan dapat melihatnya selama-lamanya selepas hari ini, kewajipan atasku hanyalah menceritakan kepada kamu setelah aku menghimpunkannya supaya kamu membacanya".[4]

Ketiga: Di dalam "Bashaair ad-Darajat" pengarangnya yang merupakan salah seorang murid imam yang kesebelas di sisi Syi'ah iaitu Hasan Al-Askari a.s. telah mengemukakan satu riwayat yang berbunyi:

عن جابر قال: قال أبو جعفر (ع): دعا رسول الله أصحابه بمنى، فقال: يا أيها الناس! إني تارك فيكم حرمات الله: وعترتي، والكعبة البيت الحرام ثم قال أبو جعفر: أما كتاب الله فحرفوا، وأما الكعبة فهدموا، وأما العترة فقتلوا.

Bermaksud: Daripada Jabir katanya, Abu Jaa'far a.s. berkata: Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabatnya di Mina lalu berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah meninggalkan di kalangan kamu beberapa perkara yang diharamkan oleh Allah, Ithrahku (Ahlul Bait) dan Ka'bah Baitullahil Haram. Kemudian Abu Jaa'far a.s. berkata, "Adapun kitab Allah maka mereka telah menyelewengkannya, adapun Ka'bah mereka telah merobohkannya dan adapun Ahlul Bait mereka telah membunuhnya".[5]

Keempat: petikan penghujahan Imam Ali r.a. yang dikemukakan oleh at-Thabarsi di dalam kitabnya:

ان الكناية عن اسماء أصحاب الجرائر العظيمة من المنافقين في القرآن ليست من فعله تعالى، وانها من فعل المغيرين والمبدلين، الذين جعلوا القرآن عضين واعتاضوا الدنيا من الدين، وقد بين الله تعالى قصص المغيرين بقوله: " الذين يكتبون الكتاب بايديهم ثم يقولون هذا من عند الله ليشتروا به ثمنا قليلا " وبقوله " وان منهم لفريقا يلوون السنتهم بالكتاب " وبقوله: " اذ يبيتون ما لا يرضى من القول " بعد فقد الرسول مما يقيمون به باطلهم حسب ما فعلته اليهود والنصارى بعد فقد موسى وعيسى من: تغيير التوراة والانجيل، وتحريف الكلم عن مواضعه، وبقوله: " يريدون ليطفؤا نور الله بأفواههم ويأبى الله الا ان يتم نوره ولو كره المشركون " يعني: انهم اثبتوا في الكتاب ما لم يقله الله ليلبسوا على الخليقة فأعمى الله قلوبهم حتى تركوا فيه ما دل على ماأحدثوه فيه

Sesungguhnya sebutan nama-nama golongan munafik yang melakukan kesalahan besar secara kinayah(tidak secara jelas) di dalam al-Quran bukanlah daripada perbuatan Allah taala tetapi perbuatan orang-orang yang mengubah dan menokok tambah (al-Quran) yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain)[6] yang menggantikan dunia daripada agama. Sesungguhnya Allah taala telah menerangkan kisah orang-orang yang telah melakukan pengubahan (terhadap kitab suci) dengan firman-Nya yang bermaksud: “orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan: "Ini dari Allah", (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu”.[7] Dan firman-Nya yang bermaksud: Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu”[8] dan firman-Nya yang bermaksud: “ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah”[9]selepas daripada kewafatan Rasul yang merupakan kebatilan mereka yang mereka cuba tegakkan mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh Yahudi dan Nasara selepas kewafatan Nabi Musa dan ‘Isa seperti mengubah Taurat dan Injil serta menyelewengkan kalam (di dalam kitab suci) daripada tempatnya (yang asal). Dan dengan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)”[10] iaitu mereka mengadakan di dalam kitab apa yang tidak dikatakan oleh Allah untuk mengelirukan manusia lalu Allah membutakan hati-hati mereka sehingga mereka meninggalkan di dalamnya sesuatu yang menunjukkan kepada perbuatan mereka itu.[11]

Kitab-kitab utama Syi'ah yang mengemukakan riwayat-riwayat yang lain dari imam-imam maksum di sisi mereka berkenaan penyelewengan al-Quran adalah seperti Tafsir al-'Aiyyasyi, Tafsir al-Qummi, Al-Anwar An-Nu'maniyyah dan lain-lain lagi.

Namun begitu golongan Syi’ah dengan menggunakan senjata taqiyyah cuba untuk menolak riwayat-riwayat tersebut dengan alasan kononnya tidak semua hadith yang terdapat di dalam al-Kafi adalah sahih. Mereka mengatakan di dalam al-Kafi terdapat lebih dari sembilan ribu riwayat yang dho’if. Persoalannya mereka tidak pula menyatakan sudut kedho’ifan riwayat-riwayat tersebut. Kalau begitu bagaimana pula dengan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam al-Kafi berkenaan imamah, mut’ah, raj’ah dan sebagainya. Kalaulah riwayat-riwayat berkenaan tahrif yang terdapat di dalam al-Kafi adalah dho’if tanpa sebarang alasan maka tidak salah kalau dikatakan riwayat-riwayat berkenaan akidah-akidah Syi’ah yang lain juga adalah dho’if maka natijahnya akan runtuhlah ajaran Syi’ah. Di samping itu tiada satupun riwayat dari imam-imam maksum di sisi mereka yang menyebutkan bahawa tidak berlaku tahrif di dalam al-Quran berbeza dengan riwayat tahrif.

Dari segi logik pula Syi’ah sememangnya tidak boleh menerima bahawa al-Quran yang ada sekarang ini adalah yang asli kerana beberapa faktor. Antaranya:

  1. al-Quran dihimpunkan oleh sahabat-sahabat Nabi s.a.w. sedangkan Syi’ah mengkafirkan mereka bahkan menganggap mereka adalah sejahat-jahat manusia. Apakah boleh diyakini golongan yang sebegini jahat tidak akan menyelewengkan al-Quran.
  1. Di dalam al-Quran penuh dengan pujian terhadap sahabat-sahabat Nabi s.a.w. sedangkan ianya bercanggah dengan kepercayaan Syi’ah.
  1. Di dalam al-Quran tiada menyebutkan berkenaan imam dua belas sama ada secara jelas ataupun isyarat sedangkan akidah tersebut iaitu akidah imamah dan walayah adalah merupakan akidah paling penting di sisi Syi’ah.
  1. Di dalam al-Quran Allah taala menyebutkan bahawa mengetahui perkara ghaib hanyalah merupakan hak khusus Allah taala sedangkan Syi’ah memberikan sifat tersebut kepada imam-imam mereka.
  1. Di dalam al-Quran Allah taala memberi penekanan terhadap tauhid sedangkan Syi’ah menyebarluaskan syirik di dalam pegangan mereka bila mereka memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada imam-imam mereka.

Dan banyak lagi perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah Syi’ah yang terdapat di dalam al-Quran.

Kerana itulah Muhammad Baqir Al-Majlisi telah mengemukakan dalil dari sudut logik yang menunjukkan berlakunya tahrif dalam al-Quran dengan berkata:

والعقل يحكم بأنه إذا كان القرآن متفرقا منتشرا عند الناس وتصدى غير المعصوم لجمعه يمتنع عادة أن يكون جمعة كاملا موافقا للواقع، لكن لا ريب في أن الناس مكلفون بالعمل بما في المصاحف وتلاوته حتى يظهر القائم وهذا معلوم متواتر من طريق أهل البيت..عليهمالسلام وأكثر أخبار هذا الباب مما يدل على النقص والتغيير

Bermaksud: Akal menghukum bahawa bilamana al-Quran itu berselerak dan bertebaran di tangan orang ramai dan orang yang tidak maksum tampil untuk menghimpunkannya maka dari segi adatnya terhalang untuk menjadi satu himpunan yang sempurna serta menepati kenyataan, akan tetapi tidak diragui lagi bahawa manusia ditaklifkan supaya beramal dengan apa yang terdapat di dalam mushaf-mushaf dan membacanya sehingga Al-Qaim (Imam Mahdi Syi'ah) muncul. Ini merupakan suatu yang sudah dimaklumi serta mutawatir melalui jalan Ahlul Bait a.s. dan kebanyakan hadis-hadis berkenaan bab ini menunjukkan kepada berlakunya pengurangan dan perubahan (dalam al-Quran).[12]



[1] Riwayat-riwayat tersebut dihimpunkan oleh Allamah Husain bin Muhammad Taqiy an-Nuuri at-Thabarsi di dalam kitabnya Fashlul Khitab Fi Ithbati Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab.

[2] Kitab al-Kafi merupakan kitab yang paling utama dan termasuk di dalam empat kitab sahih di sisi Syi’ah karangan Muhammad bin Yaa’kob bin Ishak Al-Kulaini ar-Razi yang diberikan gelaran thiqatul Islam (orang yang sangat dipercayai dalam Islam) dan meninggal pada tahun 328h. Pujian melangit diberikan oleh ulama-ulama Syi’ah terhadap beliau dan kitabnya al-Kafi boleh dilihat di dalam Mukaddimah al-Kafi hal. 25, Syarah al-Kafi seperti al-Wafi jil. 1 hal. 6, kitab-kitab rijal di sisi syi’ah seperti al-Kuna wal-Alqab karangan Syeikh Abbas al-Qummi jil. 3 hal. 98, Raudhah al-Jannah jil. 6 hal 116 dan kitab-kitab lain seperti Mustadrak al-Rasaail jil. 3 hal. 532, az-Zari’ah ila Tasanif as-Syi’ah jil. 17 hal. 245 dan lain-lain.

[3] Usul Al-Kafi Bab Tidaklah Mengumpulkan Al-Quran Kesemuanya Kecuali Imam-Imam A.S. Dan Mereka Mengetahui Kesemua Ilmu Jil. 1 Hal. 228

[4] Usul Al-Kafi jilid 2 hal. 633

[5] Muhammad bin Hasan, Bashaair ad-Darajat juz 8 bab yang ke tujuh belas

[6] Petikan daripada ayat 91 surah al-Hijr.

[7] Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 79

[8] Al-Quran Surah Aali ‘Imran ayat 78

[9] Al-Quran Surah an-Nisa’ 108

[10] Al-Quran Surah as-Saff ayat 8

[11] Al-Ihtijaj jilid 1 hal. 371-372

[12] Mir'atul 'Uqul Fi Syarhi Ahadisir Rasul jilid 1 hal. 171

No comments: